Amalan Snek Bijak di Musim Bola Sepak | Pakar nutrisi kongsi lima tabiat snek bijak untuk diamalkan pada musim Piala Dunia ini. Penalti, jaringan gol, serta saat-saat lain yang mendebarkan. Dengan “demam” bola sepak kembali melanda dunia, para peminat pastinya tidak sabar untuk menunggu permulaan musim baharu Piala Dunia FIFA 2022. Bola sepak sememangnya cukup sinonim dengan sesi makan ringan bersama keluarga, kawan, atau kaki bola sepak lain di gerai mamak sehingga lewat malam.
Kerana makanan ringan – tidak kiralah keropok, biskut, roti canai mahupun pizza – dan perlawanan bola sepak berpisah tiada di musim bola ini, amat mudah untuk kita berlaku cuai dalam menjaga pengambilan makanan yang betul.
“Ada banyak sebab kita makan, dan kajian mendedahkan kita cenderung makan secara berlebihan apabila kita kurang memberi perhatian, bosan atau tertekan. Semasa musim Piala Dunia ini, kita pasti akan gigih bersorak untuk pasukan kegemaran, namun jangan lupa memberi perhatian kepada apa yang kita makan dengan mengetahui apa yang tubuh kita perlukan. Ini termasuklah cara kita menilai pengambilan makanan di waktu perhatian kita mudah dialih,” saran Lim Chain Yin, Ketua Nutrisi SEA di Mondelēz International.
Hakikatnya, snek bukanlah sesuatu yang buru, namun cara anda menikmatinya adalah sangat penting. Kita seharusnya mengambil dan menikmati snek dengan tujuan. Gunakan deria-deria tubuh dan fahami kehendak tubuh; apa yang ingin anda makan, mengapa anda makan dan perasaan anda ketika makan.
Di sini, kami telah sajikan lima petua tabiat snek bijak yang mudah untuk diamalkan sepanjang musim Piala Dunia FIFA 2022:
- Bahagikan snek kepada beberapa porsi
Bahagikan snek kepada dua atau tiga porsi setelah memilih snek untuk menggalakkan anda makan dengan lebih perlahan. Sambil anda menikmati snek, peka kepada keperluan tubuh dan perasaan anda, dan tanya pada diri sama ada anda sudah berasa kenyang dan berpuas hati sebelum menghabiskan porsi yang lain. Pastikan anda juga peka terhadap saiz hidangan setiap bungkusan snek, dan isi snek anda dalam mangkuk atau di atas pinggan untuk mendapatkan klu visual.
- Ubah pilihan snek anda
Ketika menyaksikan perlawanan pada larut malam, nafsu makan anda mungkin hadir walaupun selepas makan malam. Namun, ingatlah yang tubuh anda perlu bekerja lebih keras jika anda makan terlalu lewat, ketika anda sedang tidur. Pilih snek yang lebih ringan dan dapat memberikan anda tenaga namun tidak susah dihadam seperti kekacang atau buah.
- Nikmati setiap kunyahan
Menikmati snek sambil melakukan aktiviti lain seperti menonton perlawanan boleh sepak boleh membawa kepada tabiat makan berlebihan. Jadi, nikmatilah snek anda dengan semua deria-deria tubuh. Bagi meningkatkan kepuasan menikmati snek, tumpukan perhatian anda kepada bau, rasa, tekstur, bentuk dan warna makanan anda. Kunyah makanan perlahan-lahan dan dengan suapan yang kecil sebelum kunyahan yang seterusnya.
- Jauhkan snek dari pandangan dan capaian
Ketika menyaksikan perlawanan di rumah, pastikan snek anda jauh dari pandangan dan capaian tangan anda. Ini dapat mengelakkan anda daripada terus makan tanpa henti dan akhirnya terlebih makan tanpa menyedarinya.
- Minum lebih banyak air
Pastinya sudah banyak kali kita dengar nasihat ‘minum banyak air’. Sebenarnya, otak kita sentiasa memperdayakan kita untuk makan lebih, namun, ia mungkin sekadar tindakbalas tubuh terhadap dahaga kita. Jadi, minum segelas air dan tunggu beberapa minit sebelum menentukan sama ada anda benar-benar lapar atau tidak.
Amalan snek bijak merupakan cara mudah untuk memenuhi keperluan tubuh anda tanpa rasa bersalah. Ia boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira di mana jua, bentuk makanan yang diambil dan di setiap julat usia. Ia juga membantu kita menjalin hubungan positif dengan tubuh badan dengan makanan, menerusi pilihan yang lebih proaktif dan bijak.
Kerana setiap tabiat memerlukan masa untuk dipupuk dan diubah. jadikan panduan mudah ini di musim demam bola sepak FIFA 2022 sebagai titik permulaan anda untuk menuju ke arah kehidupan yang lebih sihat. Untuk inspirasi snek bijak, layari www.snackmindful.com.
Semoga bermanfaat.
Baca juga: Amalkan Snek Bijak di Bulan Ramadan Ini