Praeklampsia

Pregnancy Info Pregnancy Journey

Kesinambungan dari entri “Bengkak Pada Tangan dan Kaki.. Ohh Kakiku Gumuksssss :)” Saya nak share info pasal PRAEKLAMPSIA. Mintak dijauhkan la dari terjadi kat saya dan ibu2 diluar sana ya. Baca tau! Penting ni 🙂

 

Bilakah bengkak itu petanda sesuatu yang serius?

Semasa hamil, bengkak di pergelangan kaki dan jari-jari kaki adalah normal dan sangat biasa. Ia dikenali sebagai edema yang menunjukkan bahawa anda mempunyai air yang berlebihan dalam badan. Namun begitu, bengkak di bahagian-bahagian lain di badan, terutamanya jika ianya berlaku dengan tiba-tiba, adalah sesuatu yang perlu dibawa kepada perhatian doktor anda.

Apa itu praeklampsia?

Praeklampsia ialah keadaan yang dicetuskan oleh kehamilan, dan ianya boleh berlaku pada peringkat kedua kehamilan. Ia bercirikan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang cepat disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan protein dalam air kencing.

Praeklampsia meliputi yang ringan juga yang paling teruk dan boleh menjejaskan beberapa sistem dalam badan. Walaupun tiada rawatan yang boleh menyembuhkannya sama sekali semasa kehamilan, praeklampsia boleh dikawal.

Oleh kerana ia mengurangkan aliran darah ke plasenta, praeklampsia boleh membahayakan bayi dalam kandungan anda. Ia boleh menyekat tumbesaran bayi sebab oksigen atau nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi. Jika anda mempunyai sebarang sebab untuk mensyakki yang anda menghidap praeklampsia, hubungilah doktor anda dengan segera.

Jika praeklampsia melarat menjadi eklampsia, tekanan darah anda akan menjadi sangat tinggi dan anda beserta bayi anda menghadapi risiko yang serius. Eklampsia boleh menyebabkan sawan atau konvulsi, yang boleh melarat menjadi koma dan meragut nyawa. Sekiranya eklampsia berlaku, ianya lazim terjadi di peringkat akhir kehamilan atau selepas bayi dilahirkan.

Adakah sesetengah wanita lebih cenderung untuk mendapat praeklampsia?

Praeklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 wanita yang hamil. Eklampsia pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan praeklampsia akan mendapatnya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bayi dilahirkan.

Penyebab praeklampsia sebenar tidak diketahui tetapi beberapa faktor risiko telah dikenal pasti. Anda lebih cenderung untuk mendapat praeklampsia jika ini merupakan kehamilan pertama anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang sebelumnya.

Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:

  • berumur 40 tahun atau lebih;
  • tersangat gemuk semasa anda menjadi hamil, iaitu dengan BMI 35 atau lebih.
  • mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus, masalah ginjal, atau diabetes;
  • mengandung kembar or berganda;
  • mempunyai sejarah praeklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
  • telah mengalaminya sebelum ini – satu dalam lima orang wanita akan mendapatnya kembali.

 

Bagaimana saya boleh mencegahnya?

Tiada cara yang pasti untuk mencegah praeklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi anda tidak terancam ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Sebabnya ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal praeklampsia.

Terdapat bukti bahawa aspirin biasa dos rendah dan suplemen calcium sebelum dan semasa awal kehamilan boleh mencegah praeklampsia dalam sesetengah wanita. Berbincanglah dengan doktor jika anda berminat untuk mendapatkan rawatan ini.

Sekiranya saya mendapat praeklampsia bagaimakah rawatannya?

Jika tekanan darah anda naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke plasenta, atau dengan duduk dalam posisi tegak. Anda mungkin diminta pergi ke pejabat doktor setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.

Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan dimasukkan ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau. Imbasan akan digunakan untuk mengesan tumbesaran bayi anda dan alat CTG (cardiotocograph) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk meneruskan kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang yang sebaik-baiknya kepada bayi anda.

Anda juga akan diberikan suntikan magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai praeklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh.

Sekiranya tekanan darah anda tidak dapat dikawal, pakar obstetrik akan mencadangkan supaya anda menjalani cetusan kelahiran atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.

Praeklampsia akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih berisiko praeklampsia sehingga empat minggu selepas bayi anda dilahirkan, terutamanya jika praeklampsia anda itu teruk atau didiagnos apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih.

Apakah petanda amaran bagi praeklampsia?

Ada kalanya praeklampsia akan maju dengan pantas. Sekiranya anda berada dalam peringkat kedua kehamilan anda atau di minggu-minggu pertama selepas kelahiran, jangan teragak-agak untuk memanggil doktor anda jika anda mempunyai salah satu daripada simptom yang berikut:

  • muka, tangan atau kaki anda bengkak dengan tiba-tiba;
  • sakit kepala yang akut diikuti dengan penglihatan yang kabur;
  • sakit yang tersangat teruk di bahagian atas abdomen anda;
  • muntah.

Pengesanan dan rawatan awal boleh menentukan secara signifikan bagaimana praeklampsia itu berkembang kelak.

Bolehkan praeklampsia menyebabkan komplikasi lain?

Kadangkala, tetapi jarang berlaku, ia boleh membawa komplikasi seperti sindrom HELLP, yang merupakan gangguan fungsi hati dan pembekuan darah. HELPP bermaksud seperti berikut – haemolysis (H – pemecahan sel darah merah), enzim hati meningkat (EL – elevated liver enzymes) dan bilangan platelet yang rendah (LP – low platelet). Ia boleh berlaku sebelum praeklampsia dapat dikesan dan didiagnos. Simptom HELLP termasuklah sakit kepala, terasa loya dan sakit di bahagian atas abdomen.

 

Credit info: Baby Center Malaysia – Praeklampsia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!