..tangan ini tak akan membelai lagi.. entri ini bukan untuk menagih air mata anda semua.. entri ini luahan hati saya yang masih pilu..bukan menolak takdir.. tidak sama sekali.. saya redha.. cuma ini cara saya meluahkannya supaya kesedihan yang terbuku dapat dileraikan sedikit demi sedikit…
Malam semalam sebelum tidur saya sempat buat apa yang patut. Doa banyak2 dengan harapan dapat berjumpa dengan dia dalam mimpi. Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya. Sempat juga saya jumpa dia, dapat melepas rindu walau hanya dalam mimpi.
Alhamdulillah saat2 akhir, Allah memberi kami peluang menjaga arwah. Dia juga seakan tidak mahu saya melepaskannya. Setiap detik saya disampingnya. Bila hilang sekejap, ditanya kemana saya. Paling syahdu bila kami memohon maaf antara satu sama lain lima hari sebelum pemergiannya. Bergenang air matanya bila bermaafan dengan anak2 dan suami tersayang. Di pegangnya kepala saya, dia kata “nak cium”. Sambil menahan tangis, saya berikan dia peluang untuk mencium pipi saya. Saat ini, tiada lagi ciuman darinya dan untuknya setiap kali saya ke tempat kerja. Tatkala tangannya menggapai ayah, air mata tak tertahan lagi. Syahdu sangat syahdu.
Kami masih meneruskan rutin melayannya seperti hari2 biasa, ayah pesan “jangan tinggalkan mak walau sekejap”. Dalam hati saya, dapat mengagak maksud ayah, tapi masih terus berdoa yang dirinya akan terus kuat melawan penyakit. Kami bergilir2 menjaga, waktu tidur pun kami abaikan. Setiap kali ada kesempatan, saya cium dia puas2. Jiran tetangga, saudara mara tak henti2 berkunjung menziarah dari hari Jumaat sehingga saat2 akhir. Alhamdulillah, terima kasih semua.
Malam terakhir kami bersama, saya rasa kakinya mula sejuk. Saya hanya menyedapkan hati sendiri. Tak mahu berfikir yang bukan2. Kami tetap meneruskan tugas seorang anak2. Kalimah2 Allah dan bacaan ayat2 suci tak henti kami titipkan mohon Allah permudahkan segalanya. Dalam hati masih mengharapkannya kembali seperti dulu.
Bila hari semakin pagi, kakinya semakin sejuk. Saya memujuk hati supaya bersabar dan tenang untuk menghadapi apa jua yang terjadi. Pagi itu masih sempat lagi, menjalankan rutin harian. Kerja di pejabat saya lupakan buat seketika. Mak adalah segala2nya. Waktu menginjak ke tengahari, keadaannya semakin membimbangkan. Kami anak beranak sentiasa disisi. Lupa waktu makan. Perut serasakan kenyang. Dia dah tak mampu menyahut panggilan kami lagi.
Semakin petang semakin ramai kawan kumpulan Yaasin arwah berkumpul membacakan surah Yaasin. Kami tetap di sisi menemani. Dalam hati hanya Allah yang mengerti. Saat2 kehilangan akan tiba bila2 masa saja. Saya berusaha menjadi kuat yang saya mampu, walaupun adakala saya tersungkur lemah.
Kini, kemana pun saya berada di dalam rumah ini, saya dapat rasakan dia ada bersama saya. Saya takkan pergi jauh dari adik2 dan ayah. Alhamdulillah Allah mengurniakan saya suami yang sangat2 memahami. Segala dugaan yang menimpa saya selama ini terlalu banyak hikmahnya. Allah mengatur dengan sempurna segala2nya.
Rindu ini takkan pernah pudar untukmu bonda tersayang. Tenanglah bonda di sana. Amin.