Konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia Menampilkan Ella, Kugiran Masdo & Exists | Johor Bahru bakal bergema dengan suasana meriah pada bulan Disember ini melalui penganjuran konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia di Stadium Tertutup Arena Larkin. Konsert yang dianjurkan oleh Coaction Events dengan sokongan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Tourism Johor ini menampilkan persembahan bertenaga daripada Ella, Kugiran Masdo, dan Exists.
Persediaan menyambut Tahun Melawat Johor 2026
Penganjuran konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga menandakan permulaan kerjasama strategik antara Tourism Johor dan Coaction Events untuk tahun 2025 hingga 2026. Sebagai usaha awal dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Johor 2026, kolaborasi ini bertujuan untuk menonjolkan Johor sebagai pusat acara bertaraf antarabangsa yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara. Kerjasama ini akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan bagi pengalaman hiburan berkualiti dan bertaraf antarabangsa, menjadikannya destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Johor Bahru Menjadi Tuan Rumah Kepada A Night to Remember: Rock Nostalgia di Arena Larkin
Semasa sidang media hari ini, Datuk Bandar Johor Bahru, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman, menyatakan rasa bangga dan teruja beliau terhadap penganjuran konsert ini, dengan berkata, “Saya berbesar hati Johor Bahru menjadi tuan rumah kepada A Night to Remember: Rock Nostalgia di Arena Larkin. Konsert ini bukan sahaja meraikan minat terhadap muzik rock yang abadi tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Johor Bahru sebagai hab untuk acara-acara antarabangsa dan pengalaman yang mengujakan.”
Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Bin Abdul Rahim, turut mengulas mengenai kolaborasi ini, dengan berkata, “Tourism Johor berbesar hati untuk menyokong Coaction Events dalam usaha mereka membawa lebih banyak acara berkualiti dan bertaraf antarabangsa ke Johor. Dengan inisiatif sebegini, kami yakin bahawa Johor dapat mencuri tumpuan sebagai destinasi pilihan yang menawarkan pengalaman luar biasa kepada para pelancong. Konsert ini merupakan salah satu inisiatif selari dengan agenda mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026.”
Konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia Menampilkan Ella, Kugiran Masdo & Exists
Konsert yang dijadualkan pada 14 Disember 2024 ini dianjurkan khas bagi mengumpulkan peminat muzik dari pelbagai peringkat umur untuk menikmati malam nostalgia rock. Malam istimewa ini turut memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan Ella, Ratu Rock Malaysia, yang melahirkan rasa teruja beliau, “Bagi saya, A Night to Remember adalah peluang terbaik untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan muzik rock sambil berkongsi pentas dengan peminat dan pemuzik hebat di Johor Bahru. Ini adalah malam istimewa untuk semua pencinta muzik rock, dan saya tidak sabar untuk beraksi.”
Ketua Eksekutif Coaction Events, David Bareng, turut menambah, “Kami mengalu-alukan kehadiran semua untuk menikmati malam penuh kenangan, mengeratkan komuniti sambil meraikan nostalgia. Dengan lebih daripada 4,000 pencinta muzik dijangka hadir, ini adalah bukti bahawa minat terhadap muzik rock di Johor Bahru kekal hidup dan bersemarak. Kami menggalakkan semua, baik warga Johor mahupun peminat dari Singapura sehingga ke Kepulauan Riau untuk mendapatkan tiket secepat mungkin dan menikmati malam rock nostalgia yang tiada tandingan.”
Harga Tiket Konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia
Harga Tiket : RM99 (Dinda: Tempat Duduk Dijana Sistem Dengan Pandangan Terhad)
RM169 (Gempak Zone: Bebas Berdiri)
RM229 (Jesnita: Tempat Duduk Dijana Sistem)
RM299 (Pujaan: Tempat Duduk Dijana Sistem)
RM399 (Permata Biru: Tempat Duduk Dijana Sistem)
Platfom Tiket : www.ticket2u.com.my
Tiket bagi konsert A Night to Remember: Rock Nostalgia telah mula dijual di www.ticket2u.com.my, dengan harga serendah RM99 sehingga RM399. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan tiga ikon rock nostalgia atas satu pentas di Johor Bahru hujung tahun ini.