Buku Kisah Hidup | Rindu Yang Bertandang

Rindu bertandang lagi. 

Wajah sayu emak berlegar-legar di ruangan mata. 

Allahu akbar. 

Laju surah Al-Fatihah meniti di bibir. Itulah rutin si perindu. 

Pantas juga jari jemari mencari wajah emak di ruang galeri telefon bimbit. 

Wajah seorang wanita yang cekal. 

Dia cukup tabah. 
Dia cukup puas menanggung suka duka pahit maung kehidupan.
Dia tidak mungkin boleh diganti dengan mana-mana ibu di dunia ini. Tak mungkin! Dia seorang pesakit kanser yang kecundang tatkala melawan serangan kanser durjana. 

Tiada siapa menduga, emak menghidap kanser pangkal rahim.

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dijemputnya emak pulang ke sisi.

Tiada daya upaya kami melawan kehendak takdir. Andai itu yang terbaik kami reda. Dia sudah cukup terseksa melawan kesakitan.

Air tangan emak jadi igauan keluarga. 
Tanyalah mereka yang mengenali, masakan mereka lupa kehebatan air tangan emak. Barangkali mereka juga seperti kami, anak-anak yang sering merindu.

Diam tak diam, sudah sepuluh tahun dia telah meninggalkan dunia yang fana ini.

Namun rasa rindu ini tidak pernah padam. 

Sakit. 

Sakitnya merindu pada emak yang telah tiada. 

Kecekalan dan pengorbanannya membesarkan kami tiga beradik tak mungkin dapat dibalas.

Walau badai datang menerpa, hatinya tetap utuh dan setia pada lelaki bernama suami. Setianya hingga hujung nyawa.

Aku tak mungkin jadi sekuat emak.

Pesan emak tak pernah dan takkan aku lupakan.

“Biar apa juga orang kata, biar apa juga yang orang buat pada kita, jangan dibalas. Biarkan. Allah ada. Biar Allah yang membalasnya.”

Sehingga kini, itulah kata-kata yang aku pegang. Aku pastikan adik-adik juga ingat pesan emak.

Memori suka duka bersama emak terlalu banyak.

Teringat suatu ketika dulu, ketika aku masih di bangku sekolah rendah, rutin hujung mingguku menemani emak mencari rezeki.

Sewal pagi kami sudah keluar menoreh getah menaiki basikal. Kami bukan orang berada, ayah bekerja sendiri. Jadi sebagai isteri, emak membantu meringankan beban ayah. Penat mengutip getah, kami berehat sambil mengalas perut menjamu selera lempeng gula merah. Lempeng yang ditengah-tengahnya diapit dengan gula merah. Menu kegemaran kami anak beranak. Ringkas tapi sedapnya bukan kepalang. Air tangan emak penuh kasih sayang.

Allahu akbar. Rindunya momen itu.

“Ummi, kenapa Ummi menangis? Ummi sedih teringat mak Ummi ya?” soalan Ilham mematikan lamunanku.

Aku mengesat air yang bertakung di tubir mata.

Lantas Ilham memelukku.

“Kesian Ummi dah tak ada mak. Kalau mak Ummi ada mesti dia jaga Ilham dan adik-adik kan” Ilham menunjukkan riak sedihnya.

“Ya. Mesti dia sayang cucu-cucu dia ni kan” jawabku menahan sebak.

Jalan cerita kami sudah tertulis rapi, emak tak sempat melihat walau seorang pun cucu-cucunya. Tapi tak mengapa. Aku masih tak lupa menceritakan kehebatan emak di hadapan cucu-cucunya. Biar mereka tahu yang neneknya seorang yang cekal dalam hidupnya.

Takdir Allah, rezeki anak syurgaku  Ilham Syakir dapat bersemadi bersebelahan pusara neneknya. Semoga roh kedua-dua insan yang aku sayangi tenang di sisi Ilahi.

Cebisan memori indah bersama emak akan tetap terpahat dalam ingatan dan akan kuabadikan dalam karya pertamaku nanti. Semoga perkongsian resipi itu nanti menjadi asbab bertambahnya pahala buat emak yang disayangi.

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Reda. Semuanya ketentuan Ilahi.

Kita juga bakal menyusul di kemudian hari. Mati itu pasti!

Bersyukurlah jika masih punya emak. Hargailah dia selagi hayatnya ada.

“Dan apabila tertutup mata ibumu, hilanglah satu lagi keberkatan dari Allah S.W.T. Doa seorang ibu”.

Penulis Pemula,
Hernee Nazir

**Untuk pre-order Buku Kisah Hidup #legasi_mak boleh klik link dibawah:
bit.ly/BKHLegasiEmak

 129 total views,  1 views today

2 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Show Buttons
Hide Buttons
Follow

Get every new post on this blog delivered to your Inbox.

Join other followers:

error: Content is protected !!