Akaun 2 KWSP Lunaskan Pinjaman PTPTN

Info Sharing

Bila dapat berita ni rasa lega. Pagi tadi dengar berita kat radio, petang ni Babah forward keratan akhbar pulak. Bolehlah Ummi settlekan pinjaman PTPTN masa diploma dulu. Sebelum ni dah guna akaun 2 untuk pinjaman Ijazah. Oleh kerana syarat kelayakan utama adalah tahun mula belajar 2001 ke atas, jadi Ummi tak dapat settlekan untuk diploma. Diploma Ummi tu tahun 1999, jadi gigih la setiap bulan settlekan hutang PTPTN diploma. Alhamdulillah la kalau syarat baru tak perlu ada tahun khas untuk lunaskan hutang. Dah boleh prepare apa yang patut dan cari dokumen-dokumen penting nak standby sebelum 21 Julai. Semoga urusan kita semua dipermudahkan.

Boleh baca artikel dari Bernama dan Utusan Malaysia seperti di bawah ya.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

PTPTN Mahu Peminjam Ambil Peluang Lunas Hutang

06 Julai 2017 12:44 AM

KUALA LUMPUR 5 Julai – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu peminjamnya mengambil peluang untuk menyelesaikan baki pinjaman masing-masing menerusi akaun 2 di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, hal ini berikutan hampir 30 peratus daripada jumlah kutipan bayaran balik keseluruhan pihaknya adalah melalui skim tersebut dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding saluran bayaran balik yang lain.

Katanya, dengan langkah diperkenalkan KWSP ini, sudah tentu menjadi salah satu kaedah yang sangat membantu peminjam PTPTN menyelesaikan tunggakan bayaran balik mereka sekali gus mengelakkan daripada disenaraihitamkan ke luar negara.

“Langkah ini sememangnya banyak membantu pencarum dalam membuat bayaran balik pinjaman pendidikan mereka. Dengan kemudahan pengeluaran akaun 2 ini, sudah tentu akan memberi manfaat kepada peminjam-peminjam PTPTN yang mempunyai caruman KWSP,” katanya ketika dihubungi di sini.

KWSP hari ini mengumumkan semua pencarumnya boleh menyelesaikan baki pinjaman pendidikan masing-masing dengan menggunakan simpanan daripada akaun 2 di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan tanpa terikat tarikh perjanjian tertentu, bermula 21 Julai ini.

Penambahbaikan tersebut akan menggantikan syarat semasa pengeluaran pendidikan daripada akaun 2 yang memiliki tarikh kuat kuasa perjanjian tertentu antaranya 1 April 2000, 2 Januari 2001 dan 17 Januari 2006.

Shamsul Anuar menambah, PTPTN amat menyambut baik apa juga langkah yang diperkenalkan KWSP terutama bagi membantu peminjam menggunakan caruman mereka untuk membayar pinjaman pendidikan.

Malah, katanya, PTPTN sendiri telah melaksanakan pemberian insentif diskaun kepada peminjam PTPTN bermula 22 Oktober tahun lalu iaitu sebanyak 15 peratus kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh pinjaman dan 10 peratus diskaun kepada peminjam yang membuat minimum 50 peratus daripada baki hutang.

“Pelaksanaan pemberian insentif diskaun menjadi faktor tarikan kepada peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara penuh atau sebahagian daripada pinjaman dengan menggunakan simpanan mereka,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/ptptn-mahu-peminjam-ambil-peluang-lunas-hutang-1.499645#ixzz4m21Ae4f5
© Utusan Melayu (M) Bhd

=============================

Boleh guna Akaun 2 KWSP bayar pinjaman pendidikan

July 6, 2017 Berita Utama, Utama 0

KUALA LUMPUR, 12 Syawal 1438H, Khamis – Berkuat kuasa 21 Julai ini, lebih 70,000 pencarum  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggunakan simpanan Akaun 2 bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan, tanpa mengira tarikh kuat kuasa perjanjian pinjaman pendidikan masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, penambahbaikan di bawah Skim Pengeluaran Pendidikan itu akan menggantikan syarat semasa pengeluaran sebelum ini.

“Penambahbaikan ke atas polisi ini dilakukan setelah mengambil kira maklum balas ahli yang mengalami kesukaran untuk mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan menggunakan simpanan KWSP mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini syarat semasa untuk menyelesaikan baki pinjaman pembiayaan pengajian anak ahli di peringkat Ijazah dan ke atas serta yang setara dengannya ialah terhad bagi penjanjian pinjaman yang berkuat kuasa pada 1 April 2000 dan bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli di peringkat Diploma dan ke atas serta yang setara dengannya terhad bagi perjanjian pinjaman yang berkuat kuasa pada 2 Jan 2001.

Sementara itu, syarat bagi menyelesaikan pembiayaan pengajian ahli dan anak ahli di peringkat Diploma dan ke atas serta yang setara dengannya terhad bagi pinjaman yang berkuat kuasa pada 17 Januari 2006.

Selain daripada penambahbaikan tersebut,  berkuat kuasa serta-merta, ahli KWSP juga boleh mengemukakan borang permohonan pengeluaran 9B (AHL) untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, atau Pengeluaran Penuh/Sebahagian Umur 55 Tahun dan 60 Tahun satu bulan sebelum tarikh lahir masing-masing berbanding enam bulan sebelumnya.

“Sebelum membuat sebarang pengeluaran, kami menggalakkan ahli untuk mendapatkan nasihat percuma di kaunter Khidmat Nasihat Persaraan di mana-mana 18 cawangan seluruh Malaysia berkenaan jenis-jenis pengeluaran yang terbaik mengikut kehendak mereka,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perubahan polisi pengeluaran boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. – Bernama

Artikel penuh: https://www.ismaweb.net/2017/07/boleh-guna-akaun-2-kwsp-bayar-pinjaman-pendidikan/

p/s Korang juga boleh check akaun 2 KWSP di SINI dan baki pinjaman PTPTN di SINI. Good luck!

Related Posts

4 thoughts on “Akaun 2 KWSP Lunaskan Pinjaman PTPTN

  1. Pingback: Cara Membuat Bayaran PTPTN Melalui e-Pengeluaran KWSP (Akaun 2) - herneenazir.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!