Perkembangan Bayi Pada Usia 7 Bulan

Baby Development My Hero Kechik - Ilham Syahmi

# Sedikit sebanyak perkembangan Ilham Syahmi untuk rujukan saya dan Encik Nazir dan yang penting akan jadi kenangan bila Ilham dah semakin membesar nanti.. nak suruh dia baca blog merapu ummi dia ni..aeh ada harapan ke blog ummi dia ni ujud lagi? 😉 #

 

Antara perkembangan bayi berusia 7 bulan:

 

Melonjak-lonjak

Sekarang bayi anda sudah mampu menyokong sebahagian daripada berat badannya dengan kakinya dan dia sudah boleh melonjak-lonjak. Malah, dia boleh duduk tanpa diampu dengan tangannya (dan dengan itu membebaskan tangannya untuk meneroka) di samping dapat mengalihkan badan semasa duduk untuk mencapai objek. Dia mungkin boleh juga naik ke posisi duduk dari posisi baring dengan menolak ke atas sambil mengampu dengan lengannya.

# Tersangatlah betulnya.. sekarang memang suka melonjak2 bila kena pangku..mengguling2 bila dibaringkan ala2 hindustani sampai terangkat2 montot dia.. tak tahulah tu petanda dia nak pandai duduk ke apa.. duduk sendiri tu memang belum pandai lagi la #

 

Belajar Memegang

Kemahiran motor halus bayi anda juga akan berkembang. Pada usia ini, dia sudah boleh mengangkat barang dengan sebelah tangan dan dengan mudah memindahkan barang itu ke tangan yang lain. Dia juga boleh mengenggam kedua tangannya dan menghirup air dari cawan bertangkai dua (dengan bantuan anda). Anda juga akan sedar bahawa suasana rumah lebih riuh dari biasa sebab dia sudah tahu betapa seronoknya melentung-lentungkan objek.

Untuk menggalakkan aktiviti motor halus, letakkan alat mainan jauh sedikit dari capaian bayi anda dan lihat bagaimana dia cuba mendapatkannya. Jika dia menangis sebab tidak dapat mencapainya, berikan galakan kepadanya – tapi elakkan dari memberi alat mainan itu. Sebenarnya, dia cuma melepaskan perasaan geram dan dalam sedikit masa akan menjadi lebih yakin dengan kebolehan fizikalnya jika anda tidak sentiasa membantunya sehingga semuanya menjadi terlalu mudah. Lazimnya, selepas mencuba beberapa kali, bayi akan berjaya menjangkau ke hadapan untuk mengambil mainan itu dan terus menegakkan badannya semula. Ini sudah tentu akan memberi galakan kepadanya dan dia akan mula menggoyangkan badannya ke hadapan dan ke belakang diampu oleh tangan dan kakinya dan dia juga mungkin akan merangkak atau berguling-guling untuk bergerak sampai mengelilingi bilik. Bantulah penerokaan dan pergerakan bayi anda dengan memastikan pakaiannya longgar dan selesa.

# Selalunya masa makan cepat je tangan dia mencapai sudu pada tangan ummi.. nak masuk dalam mulut sendiri.. nampaknya tangan Ilham dah kuat nak pegang barang2..babah selalu dengki Ilham time dia meniarap.. letak mainan jauh2 sikit nak tengok dia ambil tak mainan tu.. kalau dulu agak payah sebab dia jenis meniarap style mengundur sekarang dah boleh maju ke depan..kata Nek De dan Nek Anjang Ilham.. entah2 Ilham nak ikut style dia mengesot je tak pandai merangkak..hehehe #

 

Tumbuh Gigi

Pada masa ini bayi anda mula tumbuh gigi (ini berlaku secara amnya pada usia lima atau enam bulan, walaupun ia boleh bermula seawal tiga bulan atau selewat 12 bulan); dan pada masa ini anda akan dapat melihat dua gigi insisor tengah keluar di atas, diikuti dengan dua gigi insisor sisian. Jangan panik jika terdapat ruang di antara gigi-gigi bayi; ini disebabkan, kadangkala gigi menembusi gusi melalui sudut-sudut yang ganjil, dan apa yang berlaku ialah ruang-ruang itu akan hilang apabila kesemua 20 batang gigi bayi sudah menembusi keluar. Semasa bayi anda mula tumbuh gigi, anda akan melihat bahawa lelehan air liur bayi adalah berlebihan dan bayi juga akan membuat pelbagai bunyi-bunyian untuk menyesuaikan diri dengan benda-benda baru yang asing itu dalam mulutnya.

# Alhamdulillah umur 7 bulan ni Ilham dah ada 2 batang gigi.. tunggu je la kalau ada lagi nak keluar bulan ni.. so far tak pernah pulak air liur dia menjejes keluar atau bahasa jawanya ngences hahaha.. mulut dia memang dah bertambah bising.. kalau boring dah tahap maksima dia suka suki je menjerit kuat2 tak kira la kat rumah ke kat kedai makan ke.. selalunya time babah dia dengki dia macam lepas geram terus menjerit..hehehe #

 

Menguji Autoriti Anda

Menjelang waktu ini, anda mungkin telah cuba memberitahu bayi anda bahawa telefon itu bukanlah satu alat mainan. Atau mungkin di rumah anda, anda sering mengingatkan bayi bahawa mainan kelentungnya tidak boleh dicampakkan ke muka anda. Sebenarnya, pada usia ini, bayi anda sedang menguji autoriti anda, dan dia akan melakukan semua ini tanpa mematuhi arahan atau rayuan anda. Sekiranya bayi anda membantah, ini tidak bermakna dia enggan patuh atau dia berdegil – malah dia menggunakan sifat ingin tahunya dan juga telah tidak mengingati larangan anda sebab dia tidak boleh mengingati sesuatu itu untuk lebih daripada beberapa saat. Taktik terbaik ialah bagi anda menyatakan ’tidak boleh’ dan kemudian mengalihkan perhatiannya.

# Memang betul pun.. benda yang kita tak bagi yang tu dia nak capai..kalau nak pakai diapers memang boleh jadi bersilat dibuatnya.. menggelitik nak gerak sana sini.. lagi kita tegur lagi dia buat.. kalau part mainan pulak, babah Ilham selalu la kena berlepuk kat pipi la muka la.. anak punya pasal babah senyum je la kan 🙂 #

Perasaan Tak Senang Ketika Berpisah

Jika bayi anda sudah memperlihatkan yang dia resah apabila berjauhan dengan anda pada siang hari, sudah tentu dia akan bertambah risau pada waktu malam. Sekiranya dia terjaga tengah malam, walaupun sebentar saja, dan jika dia tahu anda ada berdekatannya, dia akan merengek untuk mendapatkan perhatian. Anda akan berasa serba salah sama ada hendak mendukung dan membawanya tidur bersama anda atau anda harus menghiraukan nasihat orang bahawa ini akan membuatkan bayi anda terlalu manja. Jangan risau: tidak menjadi masalah jika anda kadang-kala mengikut kehendak bayi anda dan membawanya tidur bersama anda – tetapi janganlah selalu sangat. Apabila kebimbangan berpisah sudah tiada, anda boleh mengajarnya semula untuk tidur dengan sendiri. Walau bagaimanapun, jika anda memilih untuk tidur bersama di katil keluarga sudah tentu anda akan sentiasa berdekatan dengan bayi anda pada waktu malam.

Keengganan bayi anda untuk berpisah dengan anda memang menggembirakan tetapi pada masa yang sama, boleh membuntukan akal juga. Dalam hal ini, amalan yang baik ialah bagi anda mengisikan bakul dengan alat-alat mainannya dan membawanya – bersama-sama bayi anda – dari bilik ke bilik apabila anda hendak menghabiskan kerja rumah; dengan cara ini anda boleh sama-sama berseronok dengan bayi anda.

# Ohhh inilah yang sedang saya alami.. memang ada masanya membuntukan akal.. saya cekalkan hati je kadang2 tinggalkan dia dengan En. Nazir dan saya buat kerja kat dapur.. tapi hati mak mana la yang tergamak biar anak dia menjerit nangis kan.. sekejap2 ambil la juga buat2 pujuk..rupa2nya memang ni salah satu perkembangan masa 7 bulan rupanya..ok noted! So far dah 7 bulan Ilham lahir, saya tak pernah berpisah tidur dengan dia.. kalau pisah tidur macamana agaknya..sure bila terjaga menjerit sakan hehehe #

 

Kemahiran Mengenal

Sekarang bayi anda sudah boleh bermain sorok-sorok dan tahu bahawa patung dalam mainan “jack-in-the box” akan timbul apabila lagu tamat. Bayi juga boleh mengecam nada suara dan perubahan dalam nada suara dan mungkin akan menangis jika anda bercakap kuat.

# Ilham memang selalunya mencebik atau menangis bila dengar ummi atau babah bersin.. maybe dia terkejut ingat kami marah dia.. jadi ummi dan babah pelissss bersin senyap2 ye 😉 #

Memahami Bagaimana Objek Berhubung Kait

Bayi anda mula memahami bagaimana objek berhubung kait antara satu sama lain dalam ruang tiga dimensi. Dia akan dapat menyusun alat mainan, seperti mengasingkan item mengikut saiz, contohnya blok. Dan jika dia merenung bayangnya di cermin tingkap dan anda tiba-tiba muncul di belakangnya, dia akan berpaling dan mencari anda dengan betul dan tidak akan menyangkakan yang reflekisi anda dalam cermin itu adalah anda.

Jika anda mendapati bahawa mainan jenis sekejap nampak, sekejap tak nampak (baa-cak) amat menyeronokkan bagi bayi anda, ini adalah sebab dia sudah mula memahami bahawa objek adalah sesuatu yang kekal dan akan tertarik kepada permainan di mana orang atau benda muncul dan hilang. Malah, salah satu cara termudah untuk melekakan bayi yang berusia tujuh bulan ialah dengan menyorokkan objek di bawah selimut untuk dia mencarinya.

# So far kalo main baa-cak tu ada la respon..Ilham tak pandai lagi nak susun2 blok tu semua.. tak apa slow2 ye Ilham :)#

 

Patung dan Permainan Yang Menyeronokkan

Bayi anda seronok bermain mainan yang sama berulang-ulang kali sebab dia suka perkara yang boleh diduga. Selain main sorok-sorok (rujuk di atas), cuba masukkan juga mainan klasik seperti lari-lari keliling taman dan tepuk-kuih tepuk-kuih (patta-cake patta-cake) ke dalam senarai mainan anda.

Pada usia ini, bayi-bayi juga cenderung kepada patung mainan lembut sama ada kecil atau besar. Selalunya, satu daripada patung mainan kepunyaan bayi akan menjadi kegemarannya dan merupakan objek sekuriti baginya sehingga mainan itu bergelumang air liur dan dibawanya bersama-sama ke mana-mana sahaja. Jika anda membeli mainan lembut yang baru, carilah yang empuk, dijahit dengan kemas dan boleh dibasuh. Alat mainan lain yang sesuai termasuklah bola, silinder-silinder dalam sarang, alat mainan pop-naik dan anak patung besar.

Jika bayi anda mempunyai alat mainan kegemarannya, anda akan mendapati bahawa pepatah “semudah mengambil gula-gula daripada bayi” tidak benar lagi. Walaupun dahulu agak mudah untuk mengambil barang dari genggamannya, kini anda mendapati bayi akan membantah dengan kuat semasa anda mengambil alat mainan dan apa jua barang daripadanya.

# Ummi dah belikan Ilham baby wrist band buat2 main kalau nak bagi diam hehe.. lion yang ada bunyi ketawa2 semua untuk bagi Ilham seronok dan tak boring ehehe #

{Credit info: BabyCenter Malaysia}

Last but not least.. layan gambar Ilham with Abang Kasha 🙂

 muka Ilham macam tak rela hahaha~

Related Posts

4 thoughts on “Perkembangan Bayi Pada Usia 7 Bulan

  1. fakhri tk merangkak, mengesot jek sampai mak dia yg tgk sakit dada, sbb mengesot dia akan hempas dada dia kalau da pnt, sib baik la cpt jalan huhuhuhu

    1. hehehe..aku ni mcm2 org kate ilham lmbt jln la ape la..sbb dh tmbuh gigi dlu..xksah la jnji die mmbesar smpurna..kalo ikut aku mmg mengesot jek…hehehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!